Friday, November 12, 2010

HILANGNYA WARAS SEORANG SUAMI

Sekali lagi kita mendengar berita mengerikan mengenai seorang lelaki bernama suami yang cemburu terhadap isterinya hingga sanggup menggunakan Pedang Samurai untuk menyerang keluarga orang yang dianggap kekasih kepada isterinya. Satu keluarga tidak bersalah menjadi mangsa amarah seorang lelaki yang kononnya bertaraf suami

Perkara begini sering terjadi di dalam mesyarakat kita dan mengundang pertanyaan, "mengapakah tindakan sebegini ganas disasarkan oleh seorang suami ke atas manusia yang lain kerana prasangka terhadap pencerobohan 'hak'nya?"

Saya merasakan bahawa tindakan begini adalah kerana kita sering disogokkan dengan ilmu bahawa isteri adalah `HAK' kepada seorang lelaki bertaraf suami. Benarkah begitu? Sudah hilangkah hak individu seorang wanita hanya kerana dia telah diijabkabul dengan seorang lelaki sebagai suami? Sudah hilangkah haknya ke atas badannya disebabkan Ijab tersebut? Sudah hilangkah haknya untuk tidak disakiti dek kerana Ijab? Jika harta seorang isteri masih lagi miliknya di dalam islam selepas bersuami, apatah lagi badannya.

Seorang suami tidak harus sewenang-wenangnya menganggap bahawa isteri adalah miliknya seumpama barangan belian di supermarket, atau haiwan peliharaan seperti kucing dan ayam. Jika haiwan pun tidak boleh diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi seorang insan bernama isteri yang telah merelakan badanya disenggama oleh suami dan yang telah menjaga rumah tangga dan anak-anaknya demi suami.

Jika pun si isteri telah tersasar, ada jalan penyelesaiannya. Jika tidak dapat selesaikan dengan jalan baik, mahkamah adalah tempatnya dan talak adalah penyudahnya. Itu sahaja kuasa suami; TALAK. Mencederakan isteri bukan haknya. Di dalam perkara tersebut isteri adalah manusia yang dilindungi haknya mengikut undang-undang agama dan Undang-undang Negara. Tidak ada seorang pun boleh melangkaui hak-hak masing-masing, baik suami, baik ayah dan baik saudara. Seorang isteri adalah manusia berstatus warganaegara dan mempunyai haknya tersendiri. Suami bukanlah pemilik isteri. Dia hanya seorang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga isteri dan dibenarkan melakukan aktiviti bersama yang diharamkan tanpa ikatan ijab-kabul. Sebagai timbal balas, isteri berjanji akan setia kepada suaminya dan menjaga kehormatan dan rumah tangganya.

Saya percaya dan yakin dengan sesungguhnya bahawa ajaran-ajaran keterlaluan mengenai "Hak Suami" di atas nama agama perlu dihentikan dan diganti dengan ajaran mengenai hak masing-masing di dalam rumah tangga dan hak masing-masing untuk merujuk kepada mahkamah jika percaya bahawa hak masing-masing sudah tidak diberikan oleh pasangan masing-masing. Sudah terlalu banyak saya mendengar tok-tok guru agama begitu ghairah mengajar wanita-wanita mengenai hak suami dan hukum derhaka tanpa timbal balas mengenai tanggung jawab suami terhadap isteri.

Perhatikanlah ajaran al Quran. Allah s.w.t tidak menyebut tentang Neraka tanpa dahulunya menyebut tentang Syurga. Ajaran mengenai dosa di timbal balas dengan ajaran mengenai pahala, balasan mereka-mereka yang menentang hukum di timbal balas dengan balasan kepada yang taat. Begitulah cara Allah s.w.t mengajar kita. Mengapakah cara ini tidak ikuti di dalam memberikan pengajaran hukum agama? Mengapa ghairah mengenai satu sudut sahaja yang menyeronokkan guru agama lelaki, tanpa mendedahkan sudut bertentangan yang kurang menyeronokkan? Allah s.w.t itu adil; adil seadil-adilnya. Setiap manusia adalah insan makhluqnya yang di dalam pentadbiranNya, dan diberikan hak masing-masing.

Saya berharap adalah pihak yang berani bercakap mengenai hal ini dan merubah keadaan. Ini adalah untuk kebaikan bersama, supaya setiap lelaki dan wanita mempunyai keyakinan bahawa hak-hak masing-masing adalah terpelihara di Negara ini dan ada mekanisma untuk menguatkuasakannya.

No comments:

Post a Comment