Friday, November 12, 2010

HILANGNYA WARAS SEORANG SUAMI

Sekali lagi kita mendengar berita mengerikan mengenai seorang lelaki bernama suami yang cemburu terhadap isterinya hingga sanggup menggunakan Pedang Samurai untuk menyerang keluarga orang yang dianggap kekasih kepada isterinya. Satu keluarga tidak bersalah menjadi mangsa amarah seorang lelaki yang kononnya bertaraf suami

Perkara begini sering terjadi di dalam mesyarakat kita dan mengundang pertanyaan, "mengapakah tindakan sebegini ganas disasarkan oleh seorang suami ke atas manusia yang lain kerana prasangka terhadap pencerobohan 'hak'nya?"

Saya merasakan bahawa tindakan begini adalah kerana kita sering disogokkan dengan ilmu bahawa isteri adalah `HAK' kepada seorang lelaki bertaraf suami. Benarkah begitu? Sudah hilangkah hak individu seorang wanita hanya kerana dia telah diijabkabul dengan seorang lelaki sebagai suami? Sudah hilangkah haknya ke atas badannya disebabkan Ijab tersebut? Sudah hilangkah haknya untuk tidak disakiti dek kerana Ijab? Jika harta seorang isteri masih lagi miliknya di dalam islam selepas bersuami, apatah lagi badannya.

Seorang suami tidak harus sewenang-wenangnya menganggap bahawa isteri adalah miliknya seumpama barangan belian di supermarket, atau haiwan peliharaan seperti kucing dan ayam. Jika haiwan pun tidak boleh diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi seorang insan bernama isteri yang telah merelakan badanya disenggama oleh suami dan yang telah menjaga rumah tangga dan anak-anaknya demi suami.

Jika pun si isteri telah tersasar, ada jalan penyelesaiannya. Jika tidak dapat selesaikan dengan jalan baik, mahkamah adalah tempatnya dan talak adalah penyudahnya. Itu sahaja kuasa suami; TALAK. Mencederakan isteri bukan haknya. Di dalam perkara tersebut isteri adalah manusia yang dilindungi haknya mengikut undang-undang agama dan Undang-undang Negara. Tidak ada seorang pun boleh melangkaui hak-hak masing-masing, baik suami, baik ayah dan baik saudara. Seorang isteri adalah manusia berstatus warganaegara dan mempunyai haknya tersendiri. Suami bukanlah pemilik isteri. Dia hanya seorang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga isteri dan dibenarkan melakukan aktiviti bersama yang diharamkan tanpa ikatan ijab-kabul. Sebagai timbal balas, isteri berjanji akan setia kepada suaminya dan menjaga kehormatan dan rumah tangganya.

Saya percaya dan yakin dengan sesungguhnya bahawa ajaran-ajaran keterlaluan mengenai "Hak Suami" di atas nama agama perlu dihentikan dan diganti dengan ajaran mengenai hak masing-masing di dalam rumah tangga dan hak masing-masing untuk merujuk kepada mahkamah jika percaya bahawa hak masing-masing sudah tidak diberikan oleh pasangan masing-masing. Sudah terlalu banyak saya mendengar tok-tok guru agama begitu ghairah mengajar wanita-wanita mengenai hak suami dan hukum derhaka tanpa timbal balas mengenai tanggung jawab suami terhadap isteri.

Perhatikanlah ajaran al Quran. Allah s.w.t tidak menyebut tentang Neraka tanpa dahulunya menyebut tentang Syurga. Ajaran mengenai dosa di timbal balas dengan ajaran mengenai pahala, balasan mereka-mereka yang menentang hukum di timbal balas dengan balasan kepada yang taat. Begitulah cara Allah s.w.t mengajar kita. Mengapakah cara ini tidak ikuti di dalam memberikan pengajaran hukum agama? Mengapa ghairah mengenai satu sudut sahaja yang menyeronokkan guru agama lelaki, tanpa mendedahkan sudut bertentangan yang kurang menyeronokkan? Allah s.w.t itu adil; adil seadil-adilnya. Setiap manusia adalah insan makhluqnya yang di dalam pentadbiranNya, dan diberikan hak masing-masing.

Saya berharap adalah pihak yang berani bercakap mengenai hal ini dan merubah keadaan. Ini adalah untuk kebaikan bersama, supaya setiap lelaki dan wanita mempunyai keyakinan bahawa hak-hak masing-masing adalah terpelihara di Negara ini dan ada mekanisma untuk menguatkuasakannya.

Saturday, March 13, 2010

ANTARA SUNNAH DAN NAFSU

Kisah sedih yang menimpa adik Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh oleh ayahnya sendiri walaupun baru mengenali lelaki tersebut 3 hari sebelumnya betapa memberikan kesedaran bahawa begitu cetek ilmu agama masyarakat kita. Yang pelik serta hairan pula adalah bagaimana kumpulan ini boleh bergrak di serata negara mengadakan program-program mereka di masjid-masjid tanpa gangguan oleh pihak Berkuasa Agama. Tidak ada pula Penguatkuasa Agama minta surat tauliah... Ulama terkenal dan bekas Mufti yang tidak boleh dipertikai ilmunya pula ditahan dan didakwa kerana mengajar tanpa tauliah.. Tidakkah ini menghairankan????

Ini jelas menunjukkan bahawa tauliah bukanlah isu sebenar yang berlaku di sini, tetapi ianya lebih kepada isu periuk nasi dan pengaruh. Jemaah Tabligh tidak menimbulkan rasa tergugat di kalangan Penguasa Agama Negeri kerana Tabligh tidak menyentuh hal-hal politik atau ehwal semasa.. Jemaah Tabligh hanya membaca Kitab Maulana Ahmad Zakaria tentang fadhilat-fadhilat ibadat walaupun dalil-dalilnya amat lemah, sehingga fadhilat-fadhilat yang disebutkan amat sukar diterima oleh akal yang berfikir ...

Alhamdulillah, Adik Siti Nur Zubaidah ditemui semula di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong petang semalam di dalam keadaan lemah dan keliru. Kita tidak tahu samada telah berlaku persetubuhan dengan suaminya berumur 41 tahun tersebut kerana pihak polis masih menyiasat dan ibu bapanya juga tidak dibenarkan membawan Siti pulang. Akan tetapi dari kenyataan isteri pertama lelaki berkenaan; Na, berusia 33 tahun itu menceritakan, suaminya pernah menyuarakan keinginan merasa nikmat berkahwin dengan budak berbanding orang dewasa. Dia tidak mengambil berat kata-kata tersebut kerana mengangapnya hanya gurauan.

Dari sini sudah jelas motif sebenar perkahwinan tersebut. Ianya bukan Sunnah sebagaimana yang dijaja olehnya tetapi sebenarnya adalah NAFSU... Dia ingin merasai " $%^& " dengan seorang budak berbanding orang dewasa. Penyakit sebegini; penggalakan perkahwinan melebihi satu, juga telah berlaku di dalam Jemaah al Arqam yang memandang bahawa kahwin ramai lebih menepati sunnah walaupun ayat al Qur'an (an Nisa' Ayat 3) jelas menyatakan bahawa jika takut berlaku tidak adil, berkahwin satu lebih baik.

Jika kita memahami ayat al Quran tersebut baik-baik, kesimpulan jelas ialah kahwin satu adalah lebih baik dari kahwin melebihi satu. Walaupun begitu kita dibenarkan berkahwin tidak melebihi empat dengan syarat yang ketat... Jika kita benar-benar ikhlas dengan diri kita, kita tidak akan berani mengambil risiko sanggup berlaku adil kerana ia amatlah sukar... Amatlah sukar untuk memastikan 100% ADIL dari segi keperluan fisikal, rohani dan penumpuan `attention' dan paling sukar ialah pemberian kasih yang sama rata...

Yang paling menyedihkan ialah tergamaknya seorang ayah termakan dengan penceramah tanpa tauliah dan ilmu ini sehingga mempedayakan isteri sendiri dan menikahkan anaknya di dalam kereta dalam keadaan memandu TANPA KEHADIRAN ANAKNYA. Kebodohan melampau ini adalah kerana dangkalnya ilmu mengenai apa itu sunnah dan apa itu nafsu. Hairan lagi, tidak terfikirkah dia untuk bertanya dengan orang-orang yang lebih arif sebelum menggadai masa depan anaknya. Begitu cetek kah sebenarnya kasih seorang ayah terhadap anak perempuannya??? Ini ibarat terpengaruh dengan ceramah penjual ubat. Inilah bahayanya TAKSUB...

Sedarlah kita bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik manusia, penghulu sekelian nabi dan rasul. Sejauh manakah iman anda untuk menyamai baginda, untuk memikul tanggungjawab baginda, untuk menjadi contoh tauladan kepada ummat Islam? Nabi Muhammad s.a.w telah mendidik Aisyah sebegitu baik sehingga Aisyah menjadi pakar rujuk hal ehwal wanita dan kekeluargaan kepada umat Islam. Nabi juga tidak meminta untuk berkahwin dengan Aisyah tetapi telah didesak oleh Abu Bakr kerana terlalu sayangkan baginda. Lagipun Abu Bakar amat tahu bahawa Baginda sebagai Rasul akan melakukan yang terbaik kepada anaknya itu dan tidak akan mengambil kesempatan untuk merasai "daging muda" ekoran perkahwinan tersebut.

Ketahuilah bahawa terdapat tindakan-tindakan Baginda adalah KHUSUS kepada baginda sahaja, umpamanya berkahwin melebihi 4, dan ini bukannya sunnah. Begitu juga beliau berkahwin dengan Aisyah ketika umur Aisyah 9 tahun dan ini tidak boleh dianggap Sunnah untuk diikuti oleh sekelian umat. Beliau pernah meniduri semua isteri-isterinya satu persatu dalam satu malam mengikut gikiran dan INI BUKAN SUNNAH untuk menjadi ikutan.. Sedarlah bahawa darjat Baginda Rasululah s.a..w berbanding dengan kita yang sembahyang pun tunggang terbalik ini adalah terlalu jauh... Oleh itu bertindaklah mengikut ilmu sebenar yang diperolehi dari guru-guru yang telah mendapat pendidikan agama sebenar dan bukan kerana semangat semata-mata tanpa ilmu...

Tuesday, January 19, 2010

TASBIH ELEKTRONIK SATU BID'AH?

Agak terkejut juga saya bila membaca di dalam Facebook anak saudara bahawa dia ada mendengar seorang ustaz menyatakan bahawa pemakaian tasbih elektronik itu adalah satu bid'ah. Astaghfirullah....

Rasanya permasaalahan ini adalah terlalu dangkal. Memanglah di zaman Baginda Rasulullah s.a.w baginda tidak mengunakan sebarang tasbih, lebih-lebih lagi elektronik kerana belum diciptakan lagi. Apapun baginda tidak menghalang seorang sahabat dari menggunakan batu-batu untuk MEMBILANG bilangan zikir.

Persoalannya cukup mudah; adakah kita mempunyai niat di dalam hati bahawa membilang tasbih itu sebahagian dari ibadat tasbih semasa melakukannya???? Jika itulah pandangan kita, maka saya bersetuju bahawa tasbih kayu ke, tasbih batu ke, tasbih elektronik ke adalah bid'ah. Tetapi jika kita hanya menggunakannya untuk MEMBILANG, dimanakah bid'ahnya??? Kalau macam tu naik kereta pun bid'ah lah kerana Rasul naik unta atau keldai.

Mungkin itu persamaan yang kurang sesuai kerana bertasbih itu ibadah sedangkan naik kenderaan itu tidak. OK, kita ke depan selangkah lagi; apa kata naik kereta untuk ke masjid menunaikan sembahyang Jamaah... Bid'ah ke sedangkan Nabi naik unta/kaldai atau jalan kaki kerana rumahnya bersebelahan masjid????

Tak sesuai lagi??? OK kita pergi lebih dekat lagi. Bagaimana dengan penggunaan alat pembesar suara di dalam sembahyang Jemaah; bid'ah ke???? Zaman Nabi tidak ada pembesar suara. Nabi tidak menggunakannya. Adakah penggunaannya di dalam sembahyang bukan satu bid'ah sedangkan ia sebahagian dari perjalanan ibadat sembahyang di masjid???? Kalau begitu penggunaannya di Masjidil Haram juga bid'ah?? Itu berlaku di negeri yang mengamalkan fahaman Wahabi yang amat sensitif terhadap persoalan bid'ah.

Rasa-rasanya inilah antara yang menyebabkan Islam menjadi begitu jumud dan layak untuk golongan tua buta huruf yang tidak tahu apa-apa perkembangan di luar persekitarannya. Keterlaluan dalam penafsiran bid'ah dan haram-halal sesuatu perkara menjadikan penganut agama Allah ini seoalah-olah menyusahkan diri sendiri dan orang lain sedangkan Allah telah menyatakan bahawa Allah menghendakkan kemudahan kepada kita dan bukan kepayahan.

Ketahuilah bahawa Islam itu mudah, kita yang memayahkan. Islam itu maju, sentiasa maju tetapi kita yang memundurkan nya. Islam itu universal, kita yang mengehadkannya. Islam itu sinar, kita yang menggelapkannya dan menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah kepada penganut agama Allah ini..